HALAMAN UTAMA

Selasa, 23 April 2019

PESTA KAUL 2019


Pesta Kaul kembali lagi. Jom beramai - ramai berkunjung ke Pesta Kaul Mukah 2019


Sedutan jemputan ke Pesta Kaul Mukah 2019 daripada wakil kepada Jawatankuasa Tetep Kaul Asel (JkTeKA) Mukah 
 
# TEPAD
Salam sejahtera,
Menjunjung tradisi, menjulang budaya, menyanjung budi, mengenang jasa.
Bagi pihak Jawatankuasa Tetep Kaul Asel (JkTeKA), selaku pengelola acara warisan Kaul Seraheng Kakan Kuala Mukah 2019, adalah dengan ini diwara-warakan kepada seluruh warga Mukah bahawa upacara kaul adat, Kaul Seraheng Kakan akan diadakan pada hari Sabtu, 27 April 2019.
Ringkasan perincian upacara adalah seperti berikut :
0600 - 0630 : Semua bot dan orang ramai yang ingin menyertai bot rombongan pembawa dan pengiring Seraheng Kakan berkumpul di Jeti Kaul (Jeti En. Osman Kudat, Kampung Tellian Tengah)
0700 : Rombongan bertolak, menyusuri Sungai Tellian menuju ke Batang Mukah
: Penghakiman pertandingan bot berhias
0800 : Rombongan dijangka tiba di Tapak Kaul Seraheng Kakan
0830 : Penyempurnaan upacara tradisi oleh Bapak Kaul
0900 : Perjamuan Terbuka (Keman Kaul)
: persembahan tarian & mengalai
1000 : Upacara selesai
Sesuai dengan amanah atas nama kelangsungan warisan, kami tidak menjanjikan apa-apa kelainan seperti yang diharapkan oleh sebilangan pengunjung dalam Pesta Kaul Mukah yang berlangsung di Pantai Kala Dana dengan kugiran anekarama, ratu atas ratu, tari melangkau seni, busana melangkau pusaka, pameran saban tahun pinjam pinjaman, niaga jual beli dan sebagainya. Kaul Seraheng Kakan akan dijalankan mengikut lunas-lunas sandaran adat walaupun mungkin lebih merupakan sekadar simbolik lestari budaya warisan zaman.
Sehubungan itu, bagi pihak Ulou Kaul, Penghulu Lai Mayer Gabong, Kamedir Kaul Tua Kampung William bin Joseph Laju, Kamedir Kaul Tua Kampung Ipum Papaluv Kalasungai Misan, Bapak Kaul, Kamedir-Kamedir Kerja kaul dan seluruh warga Tellian dengan penuh takzim dan dengan penuh kerendahan hati menjemput dan mengalu-alukan semua adik kakak, warga Mukah, pengunjung dari luar Mukah, yang berpeluang dan berkesempatan untuk hadir bersama-sama memeriahkan upacara tersebut. Memandangkan upacara ini masih mengekalkan nilai-nilai tradisi, maka larangan- larangan berikut hendaklah dipatuhi :
1. Dilarang membawa makanan berdarah (daging), telur dan buah pisang.
2. Semua bot yang menyertai rombongan dilarang memintas bot utama pembawa Seraheng Kakan.
3. Tidak dibenarkan membawa, memakai, mengibar atau memaparkan sebarang simbol yang berunsurkan politik, baik pada bot, pakaian, bendera atau apa-apa yang berkaitan sepanjang upacara.
4. Tempoh pantang kaul berkuatkuasa sehingga terbenamnya matahari pada hari berkenaan, terutamanya kepada mereka yang terlibat secara langsung. Pematuhan kepada pantang ini adalah terserah kepada individu berkenaan dan pihak JkTeKA tidak bertanggungjawab ke atas apa-apa implikasi yang mungkin timbul daripadanya.
Sehubungan itu, canang pengumuman dan pemakluman Kaul Seraheng Kakan akan dititirkan pada 25 April 2019 sepanjang Sungai Tellian dan mengelilingi Kampung Tellian. Suka diingatkan bahawa titir canang ini adalah titir beradat dan tidak boleh dipermain-mainkan dengan kuasa menjatuhkan hukuman bagi sebarang dakwaan berkaitan adalah di bawah bidang kuasa Tua Kampung menurut Undang-Undang Adat Kampung Tellian.
Undangan dan jemputan ini adalah atas dasar perpaduan dan pernyatuan warga Melanau khasnya dan warga Mukah amnya serta semua pengunjung tanpa mengira batas kaum, agama, fahaman politik dan sebarang perbezaan yang mungkin wujud. Pihak JkTeKA amat berharap agar hasrat murni yang menganjurkan keharmonian lewat perpaduan ini akan lebih dihargai, dihayati dan dimengerti. Berkongsilah rezeki sesama dalam konteks mengembalikan kepada alam apa yang telah diterima daripada alam, walaupun dalam kuantiti yang sangat sedikit.
Sebarang kekhilafan dan kelancangan dalam pemakluman ini adalah menjadi tanggungjawab saya secara peribadi dan tidak melibatkan pihak JkTeKA. Salam kemaafan walau sekecil zarah, selembut bayu, yang salah tetap kita mengaku, namun yang betul tiada kita gaduhkan.
Salam menjunjung tradisi, menjulang budaya.
Dikarang oleh saya ;
Eduine bin Kusai,
22/4/2019
0054hrs.

Tiada ulasan:

Jadual Solat

Anda mungkin nak baca yang ni..