HALAMAN UTAMA

Rabu, 15 September 2021

PISAK LUKAN ATAU PISAK BUBOR (AMALAN YANG DILAKUKAN OLEH MASYARAKAT MELANAU, SARAWAK)

 


AMARAN: Sekadar perkongsian untuk pengetahuan umum berkenaan amalan suku kaum di negara kita sahaja. Mohon komen dan ulasan yang positif sahaja ya.

Bagi yang tidak tahu mengenai Pisak Lukan atau Pisak Bubou, ia merupakan satu bentuk kepercayaan dan amalan yang dilakukan semasa kematian masyarakat Melanau. Mengikut kebiasaan semasa kematian masyarakat Melanau, rumah si mati tidak boleh dibiarkan sepi dan sunyi sahaja. Oleh itu, penduduk kampung serta saudara mara terdekat si mati akan mengunjungi dan menemani ahli keluarga si mati tersebut. Hal ini bertujuan untuk mengelakkan ahli keluarga si mati daripada diganggu oleh roh si mati. Biasanya upacara ini dijalankan sesudah mayat si mati dikebumikan. Upacara itu harus dilakukan di atas tempat mayat si mati diletakkan sebelum dikebumikan. Upacara ritual ini juga hanya boleh dilakukan bagi kematian mereka yang tidak mempunyai agama iaitu pagan.

Menurut kepercayaan masyarakat ini adalah penting bagi mereka untuk memastikan roh si mati pergi ke dunia lain dengan tenang. Oleh itu, upacara Pisak Lukan dijalankan dengan tujuan supaya roh si mati dapat meninggalkan dunia ini dengan aman tanpa sebarang kerisauan. Masyarakat percaya bahawa dengan menjalankan upacara tersebut, ia dapat memujuk roh si mati yang enggan meninggalkan tempat kediamannya untuk pergi dengan tenang. Melalui upacara Pisak Lukan inilah yang dipercayai dapat menghiburkan roh si mati buat kali terakhir sebelum dia ke dunia yang seterusnya.

Permainan Pisak Lukan ini adalah dimana satu bentuk replika patung menyerupai manusia yang diperbuat daripada bubu dan harus dinyanyikan lagu supaya roh si mati dapat masuk ke dalam badan patung bubu itu serta menggerakkan patung itu dengan sendirinya. Antara peralatan yang wajib ada semasa upacara ini dijalankan adalah seperti kemenyan, bubu, kacip pinang, tempurung kelapa, pakaian si mati, batang penyapu dan juga daun bebuas atau dikenali sebagai daun tebawan oleh masyarakat Melanau. Kemenyan akan dibakar dan asapnya dipercayai dapat memanggil roh si mati. Dalam upacara ini, bubu adalah antara elemen penting. Dalam bahasa Melanau, bubu itu disebut sebagai “bubou” jadi permainan ini dikenali sebagai Pisak Bubou atau nama lainnya Pisak Lukan.

Seterusnya, bubu ini akan berperanan sebagai badan bagi replika patung yang menyerupai manusia. Manakala tempurung kelapa pula akan dijadikan sebagai kepala patung tersebut. Di kepala patung itu iaitu tempurung kelapa tadi akan dilukiskan wajah seperti mata, hidung dan mulut menggunakan kapur sirih. Ia tidak akan menjadi sekiranya tidak dilukis wajah pada patung tersebut. Sebatang kayu akan digunakan untuk memastikan kepala dan badan patung bubu tersebut dapat bercantum. Kayu itu juga berperanan sebagai tangan bagi replika patung tersebut.

Untuk memastikan bubu itu hidup atau bernyawa, dua bilah kacip pinang digunakan sebagai jantung kepada patung bubu tersebut. Kacip pinang itu hendaklah di masukkan ke dalam patung bubu itu tadi. Jika tiada jantung (kacip pinang), maka patung bubu itu tidak dapat hidup. Setelah bubu siap dijadikan replika patung, ia akan dipakaikan dengan pakaian si mati. Selain itu, daun bebuas atau daun tebawan akan digunakan untuk menghentikan patung bubu tersebut daripada bergoyang dengan kuat atau hilang kawalan. Pada masa yang sama, daun bebuas ini juga adalah salah satu langkah berjaga-jaga sekiranya ada antara penonton yang akan dirasuki oleh roh si mati yang ada disitu.

Manakala batang penyapu turut digunakan untuk menghentikan patung itu daripada terus bergerak sehingga ia tidak dapat dikawal lagi. Batang penyapu hanya perlu digunakan untuk memukul kepala patung bubu yang diperbuat daripada tempurung kelapa itu sehingga ia mampu memisahkan kacip pinang yang menjadi jantung patung bubu tersebut daripada badan patung bubu untuk menghentikan gerakan patung bubu itu. Jika jantungnya terpisah dari badan, maka ia dapat dihentikan dengan segera.

Semasa upacara ini dijalankan kemenyan yang dibakar hendaklah diletakkan di bawah patung bubu dan asap kemenyan itu akan memanggil roh si mati untuk datang ke situ dan merasuk tubuh patung bubu itu tadi. Namun upacara ini tidak akan lengkap jika tidak dinyanyikan lagu tertentu untuk memanggil roh si mati. Patung bubu ini akan dipegang oleh si pemain sambil lagu akan dinyanyikan secara berulang-ulang kali sehingga patung bubu itu akan bergerak dengan sendirinya seolah-olah menari bersama-sama lagu yang dinyanyikan. Masyarakat Melanau percaya bahawa roh si matilah yang telah merasuk badan patung bubu dan menggerakkan patung tersebut.
Lagu yang sering dinyanyikan semasa upacara ini adalah seperti dibawah:

[Versi Melanau Mukah]
Bubou mengasou
Mengileing, mengapeing
Nait ke bilit
Ke rumah Datuk Kuna
Sabi nait pina

[Versi di Daerah/Kawasan Lain]
Bubou mengasou
Manila mati
Mahsuri nait bilit
Ke rumah Datuk Kuna
Sabi nait bilit

Video: Youtube (Niel Studio)

Lagu diatas digunakan untuk memanggil roh si mati. Manakala setelah patung bubu itu mulai bergerak atau menari dengan sendirinya maka lagu yang lain pula akan dinyanyikan. Lagu ini akan diulang banyak kali sehingga patung bubu itu menari dan bergerak dengan kuat secara sendiri. Lagu tersebut adalah seperti dibawah:
Iya Lukan
Iya badan
Tetak bemban
Nyibong sari
Iya Lukan pandai menari

Menurut kepercayaan suku etnik Melanau ini, semakin lama lagu itu dinyanyikan semakin cepat dan kuat patung bubu itu bergoyang atau menari. Mereka percaya bahawa roh si mati turut menari di dalam badan patung bubu tersebut. Kadang-kadang pergerakan patung bubu itu menjadi semakin kuat sehingga ia tidak dapat dikawal oleh si pemain dan akhirnya ia akan terpelanting dan pecah. Dalam sesetengah upacara, kepala patung bubu yang terpelanting atau pecah akan menandakan bahawa upacara itu telah tamat. Roh si mati dipercayai sudah keluar dari badan patung bubu tersebut.

Selain itu, masyarakat ini percaya bahawa jika roh si mati tidak dihiburkan maka ia tidak dapat pergi ke dunia lain dengan baik dan roh itu akan berlegar-legar di dunia serta mengganggu mereka yang masih hidup. Upacara Pisak Lukan ini boleh dilakukan oleh orang biasa-biasa (bukan dukun atau bomoh) sahaja asalkan segala peralatannya lengkap dan dinyanyikan lagu tadi. Si pemain Pisak Lukan boleh terdiri daripada tiga atau empat orang. Mereka akan memegang bahagian bawah patung bubu itu semasa ia bergerak untuk menahan patung bubu daripada terpelanting dan mencederakan penonton.

Sumber rujukan:
Melanau (2015, February 25). Pisak Lukan.

Planet Sarawak (2015, January 18). Tarian Bubu yang mistik.

Puji, T. (2014). Analisa terhadap Adat dan Keistimewaan Masyarakat Melanau di Sarawak.Pusat Kajian Dakwaan Orang Asli dan Pribumi, Universiti Putra Malaysia, Bangi, Selangor.



Tiada ulasan:

Jadual Solat

Anda mungkin nak baca yang ni..